"Mana boleh macam ni!" Desus hatiku lalu aku berdiri, berjalan menuju ke arah wanita itu. Aku duduk di sebelah wanita itu.
" Mak cik.." Aku menggosok belakang badan wanita itu. Cuba untuk menenangkannya.
"Eh, tak boleh macam ni," kataku lagi. Aku meletakkan tanganku pada pahanya. Kemudian, tangannya ku pegang. Aku memeluk bahunya pula.
"Mak cik. Kami minta maaf kalau buat mak cik sedih," kataku. Tangisan masih lagi kedengaran.
"Tapi, mak cik. Cuba mak cik ceritakan pada kami. Cerita mak cik tu akan bagi pengajaran untuk kami. Sekurang-kurangnya, perkara yang tidak baik, tak akan diulangi oleh budak-budak zaman sekarang, macam kami," kataku padanya. Wanita itu memandangku.Tangisannya mula reda.
"Baiklah," kata wanita itu. Aku menyapu lembut air matanya yang mengalir di pipi. Dia mulai menyambung ceritanya dengan sedikit esakan, sisa tangisan.
"Abang.. Abang terlalu marah. Dia macam orang gila. Gila duit. Dipaksanya emak tandatangan surat penyerahan tanah pusaka. Emak tak tahu apa-apa. Dia tak tahu nak tandatangan. Abang pegang tangan emak, ambil cop jari emak dengan kasar. Emak menjerit, 'Sakit! Sakit tangan mak!'." Air mata mulai mengalir semula. Aku memegang tangannya. Kugosok lembut tangannya yang berkedut. Dia menarik nafas dalam-dalam.
"Lepas dapat tanah, mak cik dapat tau dia jualkan tanah tu pada orang asing dan gunakan duit buat pelaburan. Tapi, dia muflis. Mak cik dah dapat agak. Lepas je dia muflis, dia balik rumah. Habis duit emak diambilnya. Dia macam orang gila. Emak dan mak cik diterajangnya, paksa bagi duit padanya. Mak cik berkeras tak nak bagi dia duit. Tapi, dia jumpa duit yang mak cik simpan. Lepas dapat duit, dia nak terus pergi. Emak cuba halang dia... Emak halang dia keluar dari rumah... Emak halang sampai sujud, pegang kaki abang... Abang suruh emak lepaskan dia. Emak tetap tak nak lepas. Abang seret emak yang lumpuh tu sampai ke pintu rumah. Mak cik mintak abang jangan cederakan emak. Mak cik pegang lengan abang, tapi ditamparnya mak cik sampai mak cik jatuh, meniarap kat lantai. Mata berpinar masa tu. Tapi, mak cik dapat nampak, abang seret emak sampai tangga rumah. Emak tetap tak mahu lepaskan abang.. Akhirnya,.. Emak jatuh dari tangga rumah.. Kepalanya terhantuk sampai banyak darah keluar..." Wanita itu mulai menangis. Aku memeluk tubuhnya. Kuusap lengannya, cuba menenangkannya. Esakannya kuat kedengaran disebabkan suasana yang sepi. Para pelajar sebak melihatnya. Ada juga yang menangis melihat wanita itu.
"Emak meninggal.. Meninggal dekat situ juga.. Abang larikan diri..," kata wanita itu teresak-esak. Aku memejamkan mataku. Tak sanggup melihat kesedihannya. Aku dapat merasai kesedihannya apabila kupeluk tubuhnya. Terasa seperti kesedihannya mengalir ke dalam tubuhku.Selepas seketika, wanita itu beransur tenang. Dia meneruskan kata-katanya.
"Lepas emak dan bapak meninggal, mak cik tinggal dengan keluarga tok penghulu. Masa umur mak cik 18 tahun, mak cik berkahwin." Wanita itu tersenyum.
"Tapi, mak cik. Maaf kalau saya bertanya. Apa jadi dengan..," kata-kata Ain disekat oleh wanita itu.
"Abang mak cik?" Ain mengangguk, serba salah. Tapi, wanita itu tersenyum.
"Dia dipenjarakan." Ringkas saja jawapan wanita itu. Ada yang terkejut, ada yang berpuas hati. Aku? Masih tertanya-tanya.
"Penjara?" Tanyaku. Wanita itu memandangku.
"Erkk! Aku salah tanya ke?"
"Ye, penjara. Dia kena penjara sebab 2 kesalahan yang berbeza. Satu, macam yang mak cik jangka. Dia buat perniagaan haram. Tapi, kesalahan kedua dia, bukanlah kesalahan yang pertama kali dia lakukan." Aku kehairanan.
"Mak cik ada kata yang mak cik ada sorang adik,kan?" Kata wanita itu.Ramai pelajar yang berubah riak wajahnya. Terlupa pula aku pada adiknya. Tak diceritakan pula.
"Masa adik mak cik berumur setahun, emak serahkan adik mak cik pada orang lain sebab kesusahan keluarga. Bertahun-tahun adik dijaga orang lain. Kami tak dapat jejak keluarga angkatnya. Tapi satu hari, mak cik dapat juga jumpa adik mak cik."
"Jumpanya di mana?" Tanya Aiman.
"Hmm.. Kesalahan abang mak cik yang kedua ialah melanggar orang dengan niat membunuh. Dia tak berpuas hati dengan seorang polis sebab menyerbu kawasan perniagaannya. Jadi, dia memandu keretanya, langgar polis tu yang sedang berjalan. Dan polis itu adalah adiknya, adik mak cik sendiri."
"Ya Allah!" Menjeritku dalam hati. Kelihatan riak wajahku yang terkejut. Tubuh Aiman mulai kebelakang, terkejut mendengar kata-kata wanita tua itu.
"Mak cik.. Dapat jumpa adik mak cik.. Maksudnya..?" Tanya Aiman,gagap. Wanita itu mengangguk.
"Mak cik dapat jumpa adik mak cik.. jenazahnya.. Mak cik sedih sebab tak dapat bercakap dengan adik mak cik. Abang mak cik.. Hmm..Insaf pun dah tak ada gunanya. Maut menunggu dia," kata wanita itu. Tiada sebarang riak wajah terpancar di wajahnya.
"Sebab sekarang dia tengah menderita sakit. Sakit misteri yang tak dapat diubati. Tapi, mak cik tahu. Itu adalah balasan dari Tuhan." Wanita itu berhenti berkata-kata. Dia melihat setiap wajah anak muda di hadapannya.
"Pernah suami mak cik ajak pergi jenguk dia di hospital. Masa mak cik pergi ke biliknya, ada 2 orang pegawai polis kat luar pintu. Bila mak cik masuk, mak cik hampi-hampir nak pengsan tengok keadaan abang. Seluruh badan dia berkudis, keluar nanah dan darah. Kadang-kadang, boleh terhidu bau busuk. Busuk sangat! Mulut dia senget. Mata terbeliak. Doktor tak tahu apa jenis penyakit yang dah serang dia," jelas wanita itu. Ramai yang terpaku mendengar kata-kata wanita itu. Wanita itu tertunduk, menyapu sisa air matanya. Aku hanya mampu melihat kelakuannya. Wanita itu memandang para pelajar semula.
"Mak cik harap, anak-anak semua dapat jadikan cerita mak cik ni sebagai pengajaran. Abang mak cik tu dah tua. Tapi, tua-tua pun, ligat buat dosa. Mak cik bukan nak buka pekung di dada, nak malukan siapa-siapa. Ingatlah, syurga di tapak kaki ibu. Yang baik, dibalas baik. Yang jahat, dibalas setimpal. Jangan derhaka kat mak ayah kamu. Ingat jasa dorang. Hadiahkan mereka dengan doa. Tak kira agama apa pun, berdoalah untuk mak ayah kamu."
Ada yang tertunduk, ada yang mengalir air matanya. Aku memandang wanita itu. Teringat aku pada ibuku serta ayahku. Air mata mengalir perlahan di pipiku. Tanpa disedari,sebuah tangan mengusap pipiku. Wanita itu tersenyum. Diusap air mataku. Aku pula yang tersenyum.
" Terima kasih atas cerita mak cik," kataku padanya. Dia mengangguk. Aku terpandang wajah Aiman yang sedang memandangku. Lama dia memandangku. Entah kenapa, pandanganku tak beralih, hanya memandangnya..
"Baiklah. Saya harap korang semua dapat jadikan cerita mak cik ni sebagai pengajaran. Bukan senang kita dapat dengar cerita macam ni. Jangan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan," pesan Aiman pada para pelajar. Aku sudah pun duduk bersama rakan-rakanku.
"Hmm.. Macam mana lah ayah dan ibu?" desus hatiku. Aku termenung memandang ke tanah.
"Kami nak ucapkan ribuan terima kasih pada mak cik sebab sudi kongsi cerita yang bermakna pada kami. Terima kasih, mak cik," ucap Aiman.
"Mak cik rasa beruntung sangat dapat jumpa kamu semua ni." Aku mengangguk lalu tersenyum mendengar kata-kata wanita tersebut.
Terima kasih, mak cik!
No comments:
Post a Comment
Pembaca bagus